KOTA BHARU – Sepasang suami isteri remaja dicekup selepas terlibat dengan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal di Jalan Pasir Puteh, Peringat di sini baru-baru ini.
Suami yang berusia 17 tahun dan isterinya, 16 tahun ditahan semasa mereka berdua menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek hadir ke IPD Kota Bharu selepas dua hari menghilangkan diri apabila diburu polis.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Mereka ditahan di lokap dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini untuk permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, sebelum ini, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu menyerbu sebuah rumah di Kampung Machang, Peringat di sini kira-kira pukul 6.50 petang kelmarin selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, kedua-dua suspek tiada di rumah berkenaan dan dipercayai telah melarikan diri.
“Polis merampas sebuah motosikal jenis Honda C-110B yang dinaiki kedua-dua suspek selain sepasang baju melayu dan baju kurung berwarna biru semasa kejadian di rumah tersebut.
“Kedua-dua suspek telah dikenal pasti dan sudah disenarai hitamkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE