MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulakan siasatan berhubung skandal rasuah seks didakwa membabitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tular sejak kelmarin.
Satu laporan turut dibuat oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi di pejabat SPRM di Alai, di sini, hari ini.
Pengerusi SAMM Melaka, Mohd. Zamri Abu Bakar berkata, pihaknya tampil membuat laporan bagi mendesak agensi itu memulakan siasatan susulan skandal rasuah seks itu melibatkan habuan projek dipercayai di bawah kelolaan kerajaan negeri.
“Untuk makluman, sejak 25 April lalu di media sosial Facebook akaun bernama Zaharin Mohd. Yassin dan Che’GuBard Original telah memuat naik banyak maklumat berupa bukti gambar, tangkap layar skrin telefon dan video mengaitkan seorang Exco kanan.
“Dari bahan tersebut dilihat bahawa Exco tersebut mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapatkan bayaran sehingga RM15,000 sebulan dan projek untuk ‘uncle’ dan watak Exco itu berjanji akan memberikan habuan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Tambahnya, SPRM perlu membuka kertas siasatan dan memanggil dua watak yang membuat pendedahan tersebut kerana menerusi tangkap layar perbualan yang tular menunjukan telah berlaku amalan rasuah secara terang-terangan.
Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada NGO terbabit. – KOSMO! ONLINE