fbpx

Sokong Road To Gold jelmakan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

USAHA negara memburu pingat emas Olimpik sulung tidak kunjung padam biarpun atlet sudah silih berganti saban tahun, namun impian menggenggam kilauan yang pertama tetap diteruskan.

Pelbagai kaedah dan pendekatan telah dilaksanakan termasuk program terbaharu iaitu projek Road To Gold (RTG) yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bulan lepas.

Pada sidang akhbar pengumuman tersebut, Hannah juga menyatakan pembentukan pasukan projek RTG bagi menyelaras usaha memburu pingat emas bagi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Jawatankuasa RTG yang telah diberi mandat itu akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi kedua-dua temasya sukan berprestij dunia tersebut.

Jawatankuasa RTG akan memperkasa Program Podium sedia ada yang diketuai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat kementerian.

Menariknya, jawatankuasa tersebut akan memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Dalam kata lain, kehadiran projek RTG dijangka memperhebatkan lagi Program Podium sedia ada yang diketuai oleh MSN dan ISN yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk atlet berpotensi negara.

Tidak dinafikan projek RTG bakal menelan kos besar, meskipun kerajaan bersedia untuk menanggungnya, namun konglomerat seharusnya tampil sama berjuang untuk negara tercinta.

Jangan pandang sepi impak sukan, apatah lagi berprestij seperti Sukan Olimpik. Jika di luar negara, atlet-atlet elit mendapat tajaan syarikat-syarikat swasta kerana mereka sedar betapa pentingnya memenangi emas Olimpik.

Mungkin ada yang sinis, ada apa pada pingat emas? Benar, jika dilihat secara fizikal, pingat emas tidak ubah hanya kalung hiasan yang diberikan kepada sang juara, namun harus diingat ia bukan sekadar pingat emas.

Pingat emas yang dimenangi itu sudah pasti simbol kepada kejayaan dan ganjaran atas kerja keras para atlet. Kadangkala atlet bekerja sepanjang hidup untuk satu saat itu yang akan mengubah segala-galanya.

Pada penulis, istilah kemenangan, kenaikan pangkat, peningkatan, pengajaran yang dipelajari, mencari matlamat dalam hidup, perkara-perkara ini semua seperti pingat emas dalam hidup kita.

Persaingan diperlukan dengan diri sendiri atau orang lain untuk menjadi lebih baik dan pingat emas adalah tanda untuk menghargainya. Kami ingin menjadi yang terbaik dalam apa sahaja yang kami lakukan. Pingat emas menjadikan juara dan teladan yang membawa kesedaran kepada orang ramai tentang apa perlu dilakukan untuk mencapai puncak gunung.

Setiap pemenang pingat emas mempunyai kisah untuk diceritakan, bagaimana mereka bermula dari kosong, naik pangkat, gagal berkali-kali tetapi mereka tidak berputus asa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI