fbpx

Raya tak berseri tanpa bekalan elektrik, air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, AZMI NORDIN

KEMERIAHAN Hari Raya Aidilfitri di beberapa kawasan di Semenanjung sedikit terganggu apabila terdapat gangguan bekalan elektrik dan air.

Gangguan berkenaan sekali gus menyukarkan persediaan orang ramai menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Persiapan di hari lebaran seperti menggosok pakaian, membasuh pinggan, memasak serta melayan kunjungan sanak saudara terbantut akibat gangguan dua perkara asas itu.

Sehari sebelum Aidilfitri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline memaklumkan terdapat beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Untuk makluman, beberapa kawasan di sekitar Muadzam Shah, Pahang sedang mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Beberapa kawasan di sekitar Seberang Jaya, Pulau Pinang serta di sekitar Muar dan Segamat, Johor sedang mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya syarikat utiliti itu dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, di ruangan komen, pihak TNB turut memaklumkan pihaknya sedang menerima panggilan aduan yang tinggi daripada pengguna berkenaan masalah tersebut.

Sementara itu, tinjauan penulis di ruangan komen Facebook Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), rata-rata­nya menyuarakan kekecewaan berkenaan ketiadaan bekalan air di kawasan mereka sewaktu perayaan Aidilfitri.

Presiden Lembaga Perlin­dungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, masalah gangguan bekalan air dan elektrik merupakan perkara yang dijangka berlaku dan memerlukan persediaan lebih rapi lebih-lebih di musim perayaan.

Katanya, setiap kali pera­yaan, masalah berkenaan pasti akan timbul terutama kepada pengguna yang pulang ke kampung halaman.

“Penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan dalam suatu rumah selepas kepulangan anak-anak perantau ke kampung halaman antara penyumbang mengapa berlakunya gangguan elektrik, begitu juga air.

“Keterujaan untuk me­nyambut lebaran pasti terganggu sebab saya pernah menghadapi situasi seperti itu, pernah seharian tiada bekalan elektrik sewaktu pulang ke kampung dan kitaran ini berlaku setiap tahun,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Nan Sang, para pengguna juga perlu bijak dari sudut persediaan menanti hari perayaan dan boleh meramalkan sendiri kemungkinan gangguan bekalan air dan elektrik apabila tinggal beramai-ramai di dalam sebuah kediaman.

“Pengguna boleh menyediakan sendiri tangki air di kampung halaman masing-masing bagi mengelakkan kejadian berkenaan yang pastinya bakal mengganggu aktiviti seharian.

Katanya, selain itu, orang ramai juga perlu berjimat cermat dan tidak membazir sehingga menjurus kepada gangguan bekalan elektrik.

“Bagaimanapun, tindakan pengguna sahaja tidak cukup kalau pihak berwajib melepaskan tangan.

“Mereka perlu sentiasa bersiap siaga sewaktu perayaan. Mereka boleh sediakan lori tangki air dan juga generator buat pengguna,” ujarnya.

Justeru itu, persediaan yang rapi dalam kalangan pelbagai pihak akan mampu mengekang masalah ini daripada ­terus menghantui para pengguna dan ia tidak akan menjadi satu ‘trauma’ dalam masyarakat kita setiap kali menyambut pe­rayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI