JEDDAH – Lebih 200 orang termasuk lima rakyat Arab Saudi di bandar pelabuhan Jeddah selepas dipindahkan dari Sudan menggunakan kapal tentera, HMS Abha, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi semalam.
Menurut akhbar Arab News, pemindahan itu berlaku ketika Riyadh meneruskan usaha tanpa henti untuk memindahkan rakyatnya dan warganegara lain daripada konflik ganas di Sudan.
Selain lima warga Arab Saudi, seramai 198 yang lain adalah dari Russia, Britain, China, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Yemen, Singapura, Kemboja, Malaysia dan Pakistan. Kapal tentera Arab Saudi itu berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal.
Jumlah orang yang dipindahkan dari Sudan oleh Arab Saudi kini seramai 2,351 orang terdiri daripada 119 warga tempatan dan 2,232 penduduk dari 67 negara lain.
Mereka yang dipindahkan adalah antara beberapa kumpulan yang tiba di Arab Saudi melalui jalan udara dan laut sejak beberapa hari lalu bermula Sabtu minggu lalu.
Direktorat Am Pasport mengumumkan bahawa pihaknya telah menyelesaikan prosedur rasmi untuk ketibaan semua warga Arab Saudi dan rakyat asing yang dipindahkan dari Sudan setakat ini.
Prosedur bagi mereka yang tiba tanpa visa masuk dan pasport telah dilengkapkan dengan kerjasama kedutaan negara masing-masing, tambahnya. – Agensi