PETALING JAYA – Seorang warganegara Indonesia meluahkan perasaan terkejutnya apabila dapat mengetahui kerajaan Malaysia memberikan tol percuma selama empat hari ketika sambutan hari raya hujung minggu lalu.
Melalui satu perkongsian di TikTok Sari Ting Ting yang terkenal dengan klip video reaksi rakyat Indonesia terhadap kehidupan di Malaysia menunjukkan seorang warganegaranya terkejut ketika mengetahui kerajaan Malaysia memberikan tol percuma ketika musim hari raya.
Jelas lelaki tersebut yang dilihat memandu sebuah kenderaan di Malaysia, tempoh pemberian percuma selama empat hari itu juga adalah satu tempoh yang cukup lama.
“Jika anda ingin tahu, kerajaan Malaysia bagi tol percuma selama empat hari bagi rakyatnya untuk menyambut lebaran. Bukan hanya satu tol tetapi kesemua tol di seluruh negara.
“Jika di Indonesia juga ada tetapi hanya di 11 tol yang masih dalam pembinaan, bukan seperti di sini. Aku amat terkejut,” jelasnya yang menunjukkan paparan tol percuma di sebuah plaza tol Malaysia.
Pendedahan tersebut juga turut mendapat pelbagai komen oleh rakyat Indonesia dan ramai yang menyatakan begitu bertuah rakyat Malaysia kerana banyak menerima bantuan daripada kerajaan.
“Empat hari tu satu tempoh yang lama, sebelum ini aku ada dengar juga Malaysia memang bagi tol percuma setiap kali tibanyanya perayaan besar. Bagus pemimpin mereka,” Ujar Salawat7 Pelangi.
“Kita (Indonesia) juga ada percuma tetapi di beberapa plaza tol yang masih dalam pembinaan, ternyata plaza tol seperti ini jarang orang lalu,” tulis Hermanian. – KOSMO! ONLINE.