JURULATIH beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto percaya pengalaman berada dalam skuad badminton Indonesia dapat membantu anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjelang aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu hari ini.
Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu juara kejohanan Seluruh England (All England) 2020, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti yang pernah berada di bawah bimbingan Nova sebelum ini.
Justeru, Nova berkata, beliau sedia berkongsi tips bersama Tang Jie-Ee Wei menjelang pertemuan hari ini bagi memastikan beregu No. 22 dunia itu meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.
“Sudah tentu perlawanan menentang Praveen-Melati tidak mudah, namun sedikit sebanyak saya tahu corak permainan mereka. Saya akan bincang dengan Tang Jie-Ee Wei bagi merancang strategi untuk bantu mereka dan layak ke peringkat seterusnya,” katanya.
Pada aksi pusingan pertama kelmarin, Tang Jie-Ee Wei mencipta sensasi apabila menyingkirkan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun menerusi aksi straight-set 21-14, 21-13.
Berhubung kemenangan yang diraih Tang Jie-Ee Wei ke atas beregu Korea berkenaan, Nova berkata ia adalah hasil persiapan rapi yang dilakukan kedua-dua pemain itu sebelum perlawanan tersebut.
“Kita belajar daripada pertemuan ketika di Terbuka Jerman bulan lalu yang menyaksikan Tang Jie-Ee Wei tewas kepada lawan yang sama di suku akhir. Kita buat persiapan dengan mengkaji corak permainan pasangan Korea,” ujarnya.
Turut mengiringi Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya menewaskan lawan mereka dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 15-21, 22-20, 21-15.