GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) yakin projek tambakan laut selatan Pulau Pinang atau kini dikenali sebagai Penang South Island (PSI) tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, kemenangan besar PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRU-15 termasuk di kawasan tapak projek PSI itu menunjukkan rakyat menyokong projek dan gabungan tersebut.
“Projek PSI ini mula diperkenalkan pada tahun 2013, dan pada PRU-14 dan PRU-15 projek PSI ini juga turut diumumkan kepada rakyat secara terbuka agar mereka boleh menyatakan pendirian terhadap projek ini.
“Dalam pilihan raya tersebut kita menang besar dan kita turut menang di kerusi-kerusi (Dewan Undangan Negeri dan Parlimen) termasuk di kawasan tapak projek PSI serta kawasan yang berada berhampiran dengannya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Projek PSI merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.
Semalam, Kon Yeow mengumumkan projek PSI itu telah memperoleh kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). – KOSMO! ONLINE