fbpx

Panorama alam Tajikistan cukup memukau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Panorama indah di Tajikistan cetus rasa romantis.

TAJIKISTAN merupakan negara di Asia Tengah yang dikelilingi oleh Afghanistan, China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.

Saya dan suami memilih untuk berkunjung ke Tajikistan sewaktu perayaan Nowruz (tahun baharu) yang bermula pada 21 Mac hingga akhir bulan tersebut.

Pada waktu ini, pemandangan gunung bersalji ditambah dengan kemekaran bunga aprikot dan tulip menghiasi sekitar ibu kota, Dushanbe.

Uniknya, bangunan paling tinggi di Dushanbe hanya 22 tingkat dengan ketinggian 92 meter.

Konsep rumah tamu di sini juga agak unik kerana berkongsi bangunan dengan pejabat dan rumah pemiliknya.

Setelah semalaman di Dushanbe, kami memulakan perjalanan menuju ke Tasik Iskanderkul yang dinamakan bersempena Alexander The Great.

Perjalanan ke Tasik Iskandarul memerlukan kami menempuhi terowong Anzob di bahagian selatan dan Gunung Shakhristan di sebelah utara sebelum tiba di Lembah Yaghnob.

Terowong sepanjang 5,040 meter tersebut sangat gelap kerana tidak diterangi lampu jalan.

Menariknya, ia dikenali sebagai antara terowong paling bahaya di dunia.

Keluar sahaja terowong, pemandangan memukau menyapa kami.

Namun, jalannya curam dengan laluan hanya muat untuk dilalui oleh sebuah kereta dari satu arah.

Penulis (dua dari kiri) merakam gambar kenangan dengan wanita tempatan di Dushanbe.

Dari Tasik Iskandarul, kami naik ke atas gunung dan tinggal bersama penduduk asli di sana.

Keesokan harinya, kami terus menaiki dan menuruni gunung untuk melawat Haft Kul.

Ia bermaksud tujuh danau yang berkongsi punca air sama.

Danau tersebut adalah Nezhigon, Soya, Gushor, Nofin, Khurdak, Marguzor dan Khazorchashma yang dikelilingi oleh pergunungan Fann.

Keindahan panorama setiap danau ditambah dengan kehadiran penduduk tempatan yang melalui jalan raya sambil menaiki keldai sungguh mengasyikkan.

Kami bermalam di bandar Panjakent sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Khujand yang merupakan bandar kedua terbesar di Tajikistan.

Terdapat sebatang sungai iaitu Syr Darya mengalir melalui bandar ini.

Kami sangat bernasib baik sebab hotel kami berada di depan sungai yang jernih kebiruan itu.

Selepas menghabiskan masa semalaman di Khujand, kami pulang semula Dushanbe iaitu sehari sebelum perayaan Nowruz.

Kali ini, ketibaan kami disambut oleh bunga tulip yang sudah berkembangan di sepanjang jalan bandar Dushanbe.

Untuk makluman, perayaan Nowruz diadakan di taman-taman bunga-dengan pelbagai hidangan tradisi disediakan buat tetamu.

Semua tetamu yang datang akan berpakaian tradisi Tajikistan dan kami juga tidak ketinggalan mengenakan pakaian tradisi mereka.

Kami disajikan dengan pelbagai juadah dan hadiah.

Ia satu pengalaman yang sangat luar biasa buat kami.

Keesokan hari, sebelum berangkat ke lapangan terbang, kami dikejutkan dengan gempa bumi bermagnitud 6.8 di Tajikistan.

Walaupun pengakhiran percutian kami agak kelam-kabut, namun keseluruhan pengalaman kami di Tajikistan sungguh mengujakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI