PORT DICKSON – Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan semalam melakukan pemindahan perubatan (Medevac) ke atas seorang penumpang kapal yang mengalami angin ahmar.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang memaklumkan seorang penumpang kapal Spectrum Of The Seas mengalami strok semasa kapal sedang belayar menuju ke Singapura dari Pulau Pinang.
“Bot Petir 91 yang sedang membuat rondaan rutin di kawasan sekitar telah diatur gerak ke lokasi kapal lebih kurang 3.8 batu nautika barat daya Port Dickson, Negeri Sembilan dan setiba di lokasi, mangsa, Hon Siu Fung, 66, wanita warga Indonesia berada dalam keadaan lemah dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera.
“Mangsa telah dipindahkan ke bot Maritim Malaysia dan dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Port Dickson pada pukul 10 malam dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE