KAPIT – Seorang lelaki yang hilang selepas perahu dinaikinya bersama-sama tiga orang rakan karam di hulu Sungai Putai di sini pada 24 April lalu ditemukan mati lemas.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mayat lelaki berusia 58 tahun itu dijumpai oleh penduduk kampung kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Mangsa dijumpai terapung di Sungai Putai dan dibawa ke jeti berhampiran dermaga Jambatan Sungai Putai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 9 malam 24 April lalu ketika mangsa bersama-sama tiga rakannya pergi menangkap ikan di hulu Sungai Putai dan perahu dinaiki mereka secara tiba-tiba dimasuki air sebelum terbalik akibat dipukul ombak sewaktu angin kuat.
Bagaimanapun, usaha rakan-rakannya mencari mangsa gagal sebelum mereka tampil membuat laporan polis keesokan hari. – KOSMO! ONLINE