MAKANAN tradisional berfungsi sebagai simbol identiti budaya, status dan falsafah bagi sesuatu etnik.
Dalam aspek pelancongan pula, makanan berfungsi untuk menghubungkan pengunjung dengan budaya dan warisan di sesuatu destinasi.
Bagaimanapun, terdapat pelbagai perbalahan berkenaan dengan isu pemilikan sesuatu produk budaya dalam sektor pelancongan, terutama melibatkan negara serantau.
Profesor Madya di Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia, Dr. Basri Rashid berpendapat, isu tersebut tidak seharusnya timbul kerana makanan adalah milik etnik, bukan milik sesuatu negara.
Tambahnya, menaikkan sesuatu makanan sebagai juadah negara atau negeri sebenarnya melambangkan satu pengiktirafan kepada etnik terlibat sebagai masyarakat tempatan.
“Dalam Nusantara, berlaku penghijrahan masyarakat sejak zaman dahulu lagi. Apabila mereka berhijrah, mereka membawa budaya mereka sekali. Justeru, tidak hairanlah terdapat persamaan kerana mereka merupakan etnik daripada rumpun sama. Isu milik negara mana tidak seharusnya timbul,” jelasnya kepada K2.
Tambah Basri, gastronomi sebagai produk pelancongan penting untuk kelangsungan sesuatu budaya
“Mengetengahkan makanan tradisi sesuatu etnik bukan sahaja mampu memberikan satu pengalaman unik buat pelancong, malah dapat membantu sesuatu etnik tersebut mengekalkan warisan mereka.
“Apabila makanan tersebut menjadi produk pelancongan, secara tidak langsung permintaan terhadap sesuatu makanan itu akan meningkat, sekali gus menaikkan nilai ekonomi makanan tersebut.
“Ini akan mendorong golongan muda untuk meneruskan lagi warisan keturunan mereka,” katanya.