fbpx

Liga Super: Sabah rentap ego Gergasi Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Sabah meraikan kejayaan menewaskan Selangor 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi. - MFL

PETALING JAYA – Bintang tengah Sabah FC, Baddrol Bakhtiar muncul wira apabila memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Menariknya, kejayaan itu secara tidak langsung meleburkan rekod cemerlang skuad Gergasi Merah yang sebelum ini menang lima perlawanan berturut-turut sejak tewas 0-4 di tangan Johor Darul Ta’zim pada 17 Mac lalu.

Bukan itu sahaja, kemenangan tersebut juga membolehkan The Rhinos mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sepanjang saingan Liga Super musim ini.

Dalam aksi itu, Baddrol yang memakai lilitan lengan kapten, berjaya mendapatkan sepakan penalti buat Sabah untuk membuka tirai jaringan perlawanan selepas dia dijatuhkan pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab.

GOL sepakan percuma daripada Baddrol pada minit ke-66 membolehkan Sabah meraih tiga mata berharga menewaskan Selangor 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi. – MFL

Kesempatan itu disudahkan dengan baik oleh pemain sayap lincah dari Indonesia, Saddil Ramdani untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Samuel Somerville pada minit ke-25.

Bagaimanapun, Selangor berjaya bangkit mengikat kedudukan menerusi percubaan menarik Faisal Halim yang terkena palang sebelum melantun mengenai badan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-52.

Baddrol sekali lagi memainkan peranannya apabila kali ini membuktikan penyudah sepakan percumanya masih belum berkarat dengan meledak gol kedua buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-66.

Kemenangan itu membolehkan Sabah melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 20 mata selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini, hanya ketinggalan dua mata di belakang Selangor di tangga kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI