fbpx

Kejayaan berganda Ashikin di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASHIKIN menjuarai acara lompat kijang Terbuka Singapura dengan catatan peribadi baharu 13.05m di Hab Sukan Singapura hari ini.

PETALING JAYA – Atlet lompat jauh wanita negara, Nurul Ashikin Abas berjaya meraih dua pingat emas dengan dua rekod peribadi baharu pada Terbuka Singapura di Hab Sukan Singapura, Kallang.

Ia membuktikan Ashikin, 23, berada pada landasan tepat dalam misinya mencipta kejutan pada Sukan SEA Kemboja bulan depan sebaik acara olahraga berlangsung di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh dari 8 hingga 12 Mei ini.

Ashikin membuka kempen Terbuka Singapura dengan langkah kanan apabila menjuarai acara lompat jauh dengan catatan peribadi baharu 5.88 meter (m) semalam.

Kejayaan itu tidak terhenti di situ apabila Ashikin sekali lagi menunjukkan perkembangan yang positif dengan pingat emas lompat kijang hari ini menerusi jarak 13.05m, mengatasi rekod peribadi lamanya iaitu 12.97m.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim menjelaskan, anak didiknya itu berpotensi untuk melakukan catatan lebih baik tetapi berdepan kesukaran cuaca panas tetapi bersyukur kerana masih pada landasan tepat ke Sukan SEA Kemboja.

“Cabaran dihadapinya agar sukar kerana berlatih pada waktu malam di bulan puasa sebelum ini dan terus lompat (sertai kejohanan) lepas Hari Raya Aidilfitri.

“Namun, semuanya berjalan seperti dirancang dengan dua catatan peribadi baharu. Paling penting sekali adalah di Sukan SEA nanti,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan jarak pemenang podium lompat jauh dan lompat kijang sewaktu Sukan SEA Vietnam di Hanoi tahun lalu.

Sekurang-kurangnya catatan itu pastinya membolehkan Ashikin memberikan tentangan di Kemboja nanti terutama buat dua atlet Vietnam, Vu Thi Ngoc Ha dan Bui Thi Thu Thao serta Maria Natalia Londa dari Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI