SHAH ALAM – Sebuah jengkaut yang menjalankan kerja pengukuhan tebing sungai tanpa kebenaran dipercayai punca pencemaran bau seakan diesel di Sungai Gong, Rawang, semalam.
Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang melakukan pemantauan 24 jam melalui Skuad Pantas, kira-kira pukul 1.30 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Kod Kuning terpaksa diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air iaitu insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).
“Jentera itu dikenal pasti digunakan bagi kerja pemasangan gabion untuk pengukuhan tebing sungai tanpa kelulusan dan tidak mengikut piawaian kerja sewajarnya dan berisiko tinggi mengakibatkan pencemaran seperti tumpahan minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Loy Sian, pengendali jentera itu diarah mengalihkannya serta merta kerana berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan operasi empat LRA utama negeri.
“Selain itu, kerja penyemburan menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dilakukan di lokasi tersebut dan insiden itu berjaya diatasi dan tiada sebarang gangguan operasi LRA dilaporkan,” ujarnya.
Tambah beliau, LUAS membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 59 (1)(b) Enakmen LUAS 1999 iaitu kesalahan menjalankan aktiviti kemasukan atau pelepasan bahan pencemar tanpa lesen. – KOSMO! ONLINE