PETALING JAYA – Penyanyi Syada Amzah mengakui hatinya remuk melihat wajah duka ibu yang melihat orang lain menyambut Syawal lengkap sekeluarga bersama suami iseri dan anak-anak.
Katanya, situasi tersebut membuatkannya berusaha menjaga hati ibunya, Datin Fauziah Sarman supaya tidak terbawa-bawa emosi pada hari yang sepatutnya disambut gembira semua insan.
“Saya kasihan melihat emak, sambil beraya, dia tengok sahaja orang lain dengan ibu bapa, suami dan anak-anak. Perkara ini meremukkan hati saya.
“Saya perlu menjaganya supaya tidak terdengar lagu raya sedih. Sebelum dia mula menangis, saya sudah menangis dahulu.
“Mama yatim piatu, jika datuk dan nenek masih ada tentu emak gembira,” katanya sambil berterima kasih kepada saudara mara yang datang berhari raya.
Berkongsi perasaan dalam Instaram, adik kepada Shila Amzah itu turut menyatakan rasa sebak melihat orang lain menyambut Aidilfitri lengkap sekeluarga atau bersama pasangan masing-masing.
Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada Amir Amzah, 25, yang beraya hanhya bersama ibu semasa akhirnya lega dapat meraikan lebaran bersama semua adik-beradik lain, kelmarin.
“Dari hari raya pertama rasa rendah diri tengok orang lain ada keluarga penuh dan berpasangan (sudah semestinya saya gembira buat mereka).”
“Saya rasa sebak betul. Akhirnya boleh sambut raya dengan adik-beradik lengkap.
“Jangan salah faham, beraya berdua dengan ibu pun seronok. Tema warna tahun ini saya yang pilih dan dia ikut sahaja apa saya makan,” katanya lagi.
Sejak kelmarin tular video pendek membabitkan bapa penyanyi itu, Datuk ND Lala menghilangkan diri dan didakwa sudah berkahwin dua beraya di rumah pelakon Kazar Saisi.
Pada 1 April lalu, Fauziah memuat naik foto seorang wanita termasuk mendedahkan namanya dalam Instagram mendakwa individu itu mengganggu rumah tangganya.
Fauziah pada 3 April lalu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bertujuan memfailkan perceraian terhadap ND Lala namun dinafikan anak bongsunya.
Selain Syada, ND Lala dan Fauziah juga mempunyai anak-anak lain termasuk, Shila, 33, Amir Syafiq, 30, dan Amir Syahir, 28. – KOSMO! ONLINE