LONDON – Bekas kapten Tottenham Hotspur, William Gallas percaya bahawa ‘kemusnahan’ yang dialami pasukan itu terlalu teruk dan sukar untuk pengendali sementara pasukan, Ryan Mason melakukan keajaiban bertemu Manchester United awal pagi esok.
Ekoran kekalahan memalukan 1-6 ketika menentang Newcastle United, pengendali sebelum ini Christian Stellini terpaksa menanggung akibat dipecat selepas hanya mengemudi pasukan itu dalam empat perlawanan.
Situasi itu menyebabkan pengerusi kelab, Daniel Levy terpaksa melantik Mason sekali lagi selepas melakukannya ketika memecat Jose Mourinho pada 2021 dan beliau yang berusia 29 tahun ketika itu berjaya meraih empat kemenangan dalam enam aksi.
Kali ini, Mason yang sudah menginjak ke usia 31 tahun terpaksa berdepan cabaran getir apabila perlu mempersiapkan pasukan itu untuk menentang United di Old Trafford sebelum mereka terpaksa berkelana ke Anfield bagi menghadapi Liverpool.
“Antonio Conte dipecat, Stellini yang juga pembantunya juga menerima nasib yang sama. Sekarang Ryan Mason mengambil alih dan saya tidak pasti apakah mereka mampu menang menentang United.
“Walaupun Mason sangat mengenali pemainnya dengan baik, saya fikir pasukan itu berdepan kemusnahan yang teruk ketika ini.
“Mereka perlu benar-benar kuat untuk mendapatkan keputusan yang positif menentang United dan bermain dengan penuh kesungguhan serta menunjukkan rasa hormat terhadap jersi yang dipakai.
“Selepas kekalahan kepada Newcastle, peminat mahu melihat respons daripada pemain. Ini adalah peluang mereka, tetapi sudah pasti tugas itu tidak mudah,” jelasnya. – AGENSI