fbpx

EPL: Manchester United resah hilang ‘jeneral padang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FERNANDES (tengah) mengalami kecederaan buku lali ketika aksi menentang Brighton sekali gus belum pasti dapat diturunkan berdepan Spurs awal pagi esok. – AFP

MANCHESTER – Manchester United berdepan situasi kurang menyenangkan menjelang pertemuan penting berdepan Tottenham Hotspur di Old Trafford awal pagi esok apabila kehilangan pemain paling penting mereka.

Bruno Fernandes belum dapat disahkan cergas untuk turun pada aksi berkenaan ekoran kecederaan buku lali ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Brighton sebelum ini.

Fernandes terpaksa dikeluarkan pada penghujung babak pertama perlawanan berkenaan selepas menerima terjahan keras pemain lawan sebelum dia kelihatan terpaksa menggunakan pembalut pada bahagian kaki kanannya itu.

Pasukan perubatan United ketika ini sedang bertungkus lumus memantau perkembangan pemain berkenaan, namun ia seakan hampir mustahil untuk Fernandes pulih biarpun aksi menentang Spurs cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan mereka di kelompok empat pasukan teratas.

Skuad kendalian Erik Ten Hag itu berada di kedudukan keempat ketika ini dan memiliki ke­lebihan enam mata berbanding Spurs dengan kekurangan dua perlawanan selain mengumpul mata yang sama dengan Newcastle United yang lebih satu perlawanan.

Apa yang meresahkan United ketika ini adalah mereka perlu berdepan Spurs yang dikemudi oleh Ryan Mason selepas kelab itu membuat keputusan memecat Christian Stellini menyebabkan mereka berdepan kemungkinan kebangkitan bakal dipamerkan lawan mereka itu.

Kehilangan Fernandes memberi kesan besar kepada United seperti mana ketika mereka tewas 0-3 pada aksi suku akhir kedua Liga Europa kepada Sevilla sebelum ini.

Sekiranya Fernandes benar-benar tidak dapat diturunkan pada aksi berkenaan, ia bermakna Christian Eriksen perlu memikul tanggungjawab menjadi ‘jeneral padang’ bagi me­rencanakan serangan pasukan berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI