fbpx

Dunia diancam gelombang haba ekstrem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki menggunakan payung untuk berlindung daripada sinaran matahari di Yangon, Myanmar pada 24 April lalu. - AFP

WASHINGTON – Gelombang haba berbahaya dan mencapai rekod tertinggi dijangka meningkat ketika krisis iklim semakin meruncing, sekali gus membawa kepada kemusnahan terutamanya di negara serta wilayah yang kurang bersedia untuk menghadapinya, demikian menurut satu kajian baharu seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN.

Para saintis menganalisis set data suhu yang menjangkau lebih 60 tahun dan model iklim bagi menganalisis risiko haba ekstrem yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta lokasi di mana ia bakal berlaku.

Hasil analisis mendapati Afghanistan, Papua New Guinea, rantau Amerika Tengah termasuk Guatemala, Honduras dan Nicaragua diramal menjadi titik panas untuk gelombang haba yang berisiko tinggi.

Rantau-rantau tersebut sangat terdedah kerana populasinya berkembang pesat serta akses terhad kepada penjagaan kesihatan dan bekalan tenaga. Ia akan menjejaskan daya tahan terhadap suhu melampau, demikian menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications kelmarin.

“Terdapat bukti bahawa wilayah-wilayah tersebut mungkin menghadapi gelombang haba terbesar dan mereka tidak bersedia untuk situasi itu,” kata profesor sains atmosfera di Universiti Bristol, Dann Mitchell merangkap pengarang bersama kajian berkenaan.

“Ancaman yang dihadapi Afghanistan amat ketara.

“Bukan sahaja terdapat potensi tinggi untuk memecahkan rekod kepanasan melampau tetapi impaknya akan diperhebatkan oleh kesukaran yang sudah dihadapi negara itu,” kata Mitchell.

Afghanistan sedang bergelut dengan krisis sosial dan ekonomi yang teruk selain ia memiliki populasi yang meningkat dan semakin terdedah kepada masalah sumber-sumber terhad, demikian menurut laporan serupa.

“Apabila gelombang haba yang sangat ekstrem akhirnya tiba, maka akan wujudnya banyak masalah dengan serta-merta,” kata Mitchell.

Gelombang haba mempunyai kesan negatif yang meluas termasuk mengurangkan kualiti udara, memburukkan lagi kemarau, meningkatkan risiko kebakaran hutan serta boleh merosakkan infrastruktur.

Strok haba atau keletihan haba pula boleh mencetuskan pelbagai gejala berbahaya, antaranya sakit kepala, pening, loya dan pitam. 

Beberapa wilayah telah pun mengalami suhu yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun ini. 

Contohnya pada Mac lalu, sebahagian Argentina bergelut dengan suhu yang meningkat sebanyak 10 darjah Celsius melebihi kadar biasa, manakala rekod suhu tinggi telah dicatatkan di sebahagian besar Benua Asia pada bulan ini.

Di Lytton, Kanada pula, suhu menghampiri 50 darjah Celsius pada Jun 2021, sekali gus memecah rekod sebelumnya sebanyak hampir 5 darjah Celsius. Kawasan pinggir bandar itu turut musnah sepenuhnya oleh kebakaran hutan beberapa hari selepas rekod tersebut dicatatkan.

Dalam pada itu, kajian yang sama turut menamakan sebahagian China termasuk Beijing dan beberapa negara Eropah seperti Jerman dan Belgium turut berdepan risiko tinggi gelombang haba melampau.

Berjuta-juta orang yang tinggal di lokasi-lokasi berkenaan, yang padat dengan penduduk diramal terjejas teruk oleh gelombang haba meskipun ia memiliki sumber-sumber untuk mengurangkan kesan-kesan buruk. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI