BANDAR RAYA NEW YORK – Bayi pertama yang dihasilkan menggunakan robot penyuntik sperma selamat dilahirkan, manakala prosedur canggih itu berpotensi mengurangkan kos rawatan persenyawaan secara in Vitro (IVF), lapor akhbar New York Post semalam.
Ketika proses tersebut, jurutera-jurutera menggunakan jarum robot untuk memasukkan sperma ke dalam sel telur (ovum) di Pusat Kesuburan New Hope, Bandar Raya New York.
Kaedah itu menghasilkan dua embrio sihat yang berakhir dengan kelahiran dua bayi perempuan, demikian menurut kajian teknologi itu oleh Institut Teknologi Massachusetts.
Kajian itu melibatkan penggunaan jarum kawalan jauh dan kamera untuk memasukkan sperma ke dalam sel telur di atas piring petri.
Menurut ketua pakar genetik syarikat Overture Life, Santiago Munne yang membangunkan robot itu, teknologi tersebut suatu hari nanti boleh mengurangkan kos rawatan kesuburan semasa yang menelan belanja sehingga AS$20,000 (RM89,140) di Amerika Syarikat (AS).
Munne percaya proses persenyawaan itu boleh diautomasikan oleh pakar sakit puan. – Agensi