WASHINGTON — Seorang wanita di negeri Florida yang digelar ‘badut pembunuh’ selepas menembak mati seorang wanita di rumahnya pada tahun 1990 akhirnya mengaku bersalah selepas lebih tiga dekad, lapor akhbar Metro UK.
Sheila Keen-Warren berpakaian badut ketika menyerahkan jambangan bunga dan belon kepada Marlene Warren, 40, dan menembak mangsa di hadapan anaknya 33 tahun lalu pada 26 Mei 1990.
Keen-Warren kini berusia 59 tahun.
Kes itu akhirnya ditutup kelmarin selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan tersebut sebagai sebahagian daripada persetujuan dengan pihak pendakwa raya.
Berdasarkan persetujuan itu, suspek yang menjadi wanita simpanan kepada suami mangsa dan kini isterinya, akan dibebaskan dalam tempoh setahun.
Hakim Scott Suskauer menerima pengakuan itu sebagai pertukaran dengan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh. Beliau mengambil kira tertuduh berkelakuan baik semasa dipenjarakan selama lima tahun setengah sementara menunggu perbicaraan.
Perbicaraan kes itu dijadualkan bermula bulan depan selepas tertuduh pertama kali dipenjarakan atas tuduhan membunuh dengan niat dalam tahun 2017.
Keen-Warren sudah lama menjadi suspek utama kes itu kerana dia menjalinkan hubungan sulit dengan suami Marlene, Michael dan bekerja bersama lelaki tersebut di sebuah kedai kereta.
Bagaimanapun, suspek sentiasa menafikan tuduhan terhadapnya selepas berkahwin dengan Michael 12 tahun kemudian. – Agensi