TOKYO – Akhbar Tokyo Shimbun dikecam di Jepun kerana menyiarkan artikel makan daging burung gagak mentah dengan pakar-pakar memberi amaran bahawa perbuatan tersebut mengundang masalah kesihatan serius serta boleh membawa maut, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Bulan lepas, akhbar paling banyak pembaca di Jepun itu menyiarkan artikel mengenai hidangan sasyimi gagak (daging burung gagak segar diperap bersama pelbagai sos).
Wartawan akhbar tersebut menceritakan pengalaman makan daging gagak mentah dan dimasak dalam satu acara perjumpaan peminat daging burung itu di wilayah Ibaraki.
Menurut artikel sama, sasyimi gagak amat segar dan mudah dikunyah berbanding daging yang dibakar.
Artikel itu mencetuskan kekeliruan di media sosial yang mendorong Kementerian Kesihatan Jepun memuat naik pesanan di laman Twitter untuk memberi amaran kepada orang ramai agar tidak makan daging gagak mentah.
Meskipun perbuatan itu tidak menyalahi undang-undang, pemakanan secara mentah itu mengundang pelbagai jangkitan teruk seperti virus hepatitis E, enterohemorrhagic Escherichia coli serta parasit lain yang boleh membawa maut.
Jabatan Kesihatan dan Kebersihan Wilayah Ibaraki turut mengeluarkan nasihat serupa sambil menambah, pihaknya akan memfailkan aduan terhadap Tokyo Shimbun serta meminta media lain tidak mempromosikan amalan tersebut. – Agensi