PETALING JAYA – Wisma Putra menjangkakan seramai 30 rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Sudan ke Jeddah semalam akan dibawa pulang ke tanah air esok melalui penerbangan Saudi SV834.
Wisma Putra melalui laman Twitter rasminya berkata, kesemua 30 rakyat Malaysia dan 22 lagi warga asing yang mengembara dari Khartoum bersama konvoi Malaysia telah dipindahkan ke Jeddah dari Pelabuhan Sudan oleh kapal Tentera Laut KSA H M S Abha.
“Rakyat Malaysia dijangka melakukan perjalanan pulang melalui penerbangan Saudi SV834 pada 28 April ini,” ciapnya tengah hari tadi.
Menerusi bebenang sama, katanya, Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal Tentera Laut di Jeddah pada pukul 8.54 malam (waktu Saudi), semalam.
Beliau turut disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
“Pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral di Jeddah menerima dan mengucapkan salam kepada semua warga Malaysia yang dipindahkan yang berada dalam keadaan bersemangat tinggi dan dalam keadaan sihat.
“Sekali lagi, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas bantuan yang baik dan layanan yang baik sepanjang operasi ini berjaya,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan jumlah orang yang dipindahkan dari Sudan oleh Arab Saudi kini seramai 2,351 orang terdiri daripada 119 warga tempatan dan 2,232 penduduk dari 67 negara lain.
Mereka yang dipindahkan adalah antara beberapa kumpulan yang tiba di Arab Saudi melalui jalan udara dan laut sejak beberapa hari lalu bermula Sabtu minggu lalu.
Direktorat Am Pasport mengumumkan bahawa pihaknya telah menyelesaikan prosedur rasmi untuk ketibaan semua warga Arab Saudi dan rakyat asing yang dipindahkan dari Sudan setakat ini.
Tambahnya, prosedur bagi mereka yang tiba tanpa visa masuk dan pasport telah dilengkapkan dengan kerjasama kedutaan negara masing-masing. – KOSMO! ONLINE.