fbpx

‘Video call’ isteri selamatkan suami, rakan dirompak di atas pelantar minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT suspek diberkas selepas disyaki melakukan rompakan di sebuah pelantar minyak di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor, Selasa lalu.

KOTA TINGGI – Panggilan video seorang isteri berjaya menyelamatkan suami dan rakannya yang diserang dalam kejadian rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat kelmarin.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, susulan itu pihaknya telah berjaya menahan empat suspek warga tempatan yang disyaki melakukan jenayah tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 27 hingga 47 tahun termasuklah dua beradik yang dipercayai turut menggunakan senjata parang dalam rompakan berkenaan.

“Pada pukul 10.30 malam Selasa lalu (24 April) Maritim Malaysia Negeri Johor telah menerima aduan mengenai insiden rompakan yang berlaku di atas pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat.

“Ekoran itu bot Perkasa 30 telah diarahkan ke lokasi serta tiba pada pukul 12.30 tengah malam dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat suspek yang berada di bawah pelantar terbabit berada dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua suspek yang pada awalnya berpura-pura sedang bekerja menarik kabel kemudian bertindak menenggelamkan bot sebelum berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan dan terjun ke laut,” katanya pada sidang akhbar di Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini hari ini.

SAIFUL LIZAN (kanan) menunjukkan gambar operasi kes rompakan di sebuah pelantar minyak di Tanjung Langsat, Pasir Gudang pada sidang akhbar di Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.

Katanya, kesemua suspek telah berjaya diselamatkan oleh bot Maritim Malaysia seterusnya ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal di pelantar berkenaan telah menemui dua orang kru berusia 24 dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan tersebut.

Jelasnya, mangsa mengatakan ketika kejadian pelantar yang sedang diselenggara itu dinaiki tiga lelaki bertopeng, bersenjata tajam telah menyerang, mengikat kaki, tangan dan mulut sebelum dikurung dalam sebuah kabin. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI