KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta cuti sekolah ketika ini diambil kesempatan oleh penduduk dari luar ibu negara untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga di tempat tumpuan pelancong di sini.
Tinjauan Kosmo! di Dataran Merdeka iaitu antara lokasi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara mendapati, tempat tersebut dipenuhi orang ramai dengan pelbagai aktiviti termasuk bergambar di setiap sudut yang menarik.
Bukan sahaja pelancong asing, malah turut kelihatan pengunjung memakai pakaian raya baju Melayu dan baju kurung bergambar bersama keluarga berlatar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad.
Pengunjung dari Pulau Pinang, Noraini Md. Nor, 68, berkata, sambutan Aidilfitri keluarganya pada kali ini berbeza apabila mereka sekeluarga bersama-sama suami, anak, menantu dan cucu turut berkunjung ke ibu negara.
“Saya ada empat anak dan salah seorang anak lelaki saya tinggal di Pahang. Dia tidak dapat beraya di Pulau Pinang kerana bapa mentuanya iaitu besan saya sedang uzur.
“Jadi kami sekeluarga tanpa perancangan apa-apa mengambil keputusan menziarahi besan saya di Pahang, seterusnya kami ke Melaka iaitu rumah salah seorang anak saya dan ke Kuala Lumpur berjalan-jalan hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nizam Budin, 42, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai kakitangan awam di Kuala Lumpur dan tinggal di Petaling Jaya serta berpindah ke Pulau Pinang kira-kira 11 tahun dahulu.
“Selepas berpindah, ada juga saya ‘turun’ ke Dataran Merdeka, tapi kebiasaannya waktu malam.
“Jadi hari ini (semalam) saya ambil kesempatan datang melihat suasana di sini sebelum meneruskan ke tempat-tempat lain di Kuala Lumpur termasuk membeli-belah,” ujarnya.