fbpx

‘Tetap teruja dapat duit raya, walaupun RM1’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GOLONGAN kanak-kanak tetap teruja dan gembira walaupun hanya menerima duit raya RM1 pada Aidilfitri kali ini. – GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Tradisi memberi duit raya atau ‘duit salam’ kekal dilaksanakan umat Islam ketika perayaan Aidilfitri kali ini walaupun ramai berdepan de­ngan kekangan kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Hasil temu bual dengan sebilangan besar kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun di negeri ini mendakwa yang mereka begitu teruja selain bersyukur apabila masih menerima duit raya daripada jiran tetangga dan saudara-mara meskipun maksimum hanya mendapat RM1 seorang.

Di sebalik keterujaan itu, ada juga yang mengatakan jumlah wang yang dikumpul, hasil kutipan beraya dari rumah ke rumah pada tahun ini berkurangan berbanding tahun-tahun lalu.

Bagi Mohammad Afiq Danial, 11, dia tetap gembira kerana masih berpeluang mengumpul duit raya sehingga mencecah RM300 selepas berjalan mengelilingi kampung sehingga kira-kira empat kilometer sejak hari raya pertama yang lalu.

Akuinya, amalan kunjung-mengunjung ke rumah penduduk berhampiran itu dilakukan setiap tahun sejak berusia sembilan tahun lagi sambil ditemani seorang abang berusia 12 tahun dan juga rakan-rakannya.

“Kami mula beraya ke setiap rumah selepas selesai solat sunat Aidilfitri di masjid sehinggalah lewat petang. Jika letih berjalan, kami semua naik bas Rapid.

“Kali ini, saya dapat kumpul RM70 pada hari raya pertama dan RM200 pada hari kedua dan ketiga. Ramai orang masukkan dalam sampul RM1, manakala RM2 hingga RM5 daripada saudara-mara. Ada juga yang tidak bagi langsung, hanya jamu kuih dan air sirap,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Danial Romzi, 12, pula mendakwa, duit raya yang diperoleh setakat hari raya ketiga kelmarin berbeza daripada jumlah yang diteri­manya pada tahun lalu.

“Sebelum ini, saya sudah kumpul sehingga RM500 dalam masa tiga hari sejak raya pertama. Duit raya itu hasil pemberian saudara-mara, rakan ibu dan ayah serta jiran yang datang beraya di rumah.

“Tahun lalu, saya berjaya kumpul kira-kira RM1,500 dalam tempoh sebulan berhari raya termasuk yang diterima daripada rakan-rakan ayah dan ibu di rumah terbuka. Setakat tiga hari ini, saya cuma kumpul RM180, mungkin tak dapat sampai RM1,000 tahun ini sebab ramai yang bagi RM1 hingga RM2 sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang ­operator kilang, Nadiah Amran, 40, berkata, amalan memberi duit raya tetap diteruskannya pada tahun ini meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran kewa­ngan.

“Pemberian duit raya hanya sekadar mahu meraikan dan menggembirakan hati kanak-kanak. Merekalah antara insan paling menunggu-nunggu tiba­nya Hari Raya Aidilfitri selepas berjaya menghabiskan puasa selama sebulan.

“Perlu dikekalkan tradisi ini supaya ia dapat diteruskan sampai bila-bila.

“Walau sesak (kurang berduit) sekali pun, duit raya maksimum RM1 tetap diberi dan dianggap bernilai pada mata mereka,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI