STADIUM Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melangsungkan dua aksi persahabatan ‘Tier 1’ Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Yaman, Jun ini.
Pemilihan venue yang menjadi gelanggang rasmi Terengganu itu secara tidak langsung mendekatkan peminat bola sepak negara dengan skuad kebangsaan khususnya bagi penyokong di Pantai Timur.
Harimau Malaya terlebih dulu akan menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun diikuti Yaman pada 20 Jun.
Ketika ini, gelanggang rasmi Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup bagi proses baik pulih dan penukaran rumput daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.
Kerja penukaran itu sudah pun bermula sejak 1 April lalu dan dijangka siap sepenuhnya seawal bulan Oktober sekaligus menyaksikan venue berkenaan akan kembali digunakan oleh skuad kebangsaan pada saingan Pestabola Merdeka yang dijangka berlangsung pertengahan Oktober nanti.
Untuk rekod, dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong hujung bulan lalu dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE