REMBAU – Seorang bapa bersyukur kerana dapat menyambut sendiri anak keempatnya seperti yang diharapkan walaupun terpaksa berhadapan detik cemas isteri bersalin dalam kenderaan.
Bayi kepada pasangan Mohd Safiq Jamaluddin, 36, dan Nor Anis Mohd Arif, 37 itu dilahirkan pada jam 9.45 malam Isnin lalu, iaitu pada hari raya ketiga ketika mereka dalam perjalanan ke hospital.
Menurut Mohd Safiq, isterinya dijangka bersalin 8 Mei, dan mereka tidak menjangka ia berlaku lebih awal malah lebih mencemaskan apabila keaadaan jalan ketika itu sesak ekoran musim perayaan.
“Sekitar jam 9.45 malam, kami ke Hospital Rembau dari rumah di Kampung Batu, di sini, dan jaraknya hanya kira-kira lapan kilometer (km) saja. Ketika dalam perjalanan, isteri memaklumkan bayi sudah keluar.
“Masa tu kami sudah melewati persimpangan lampu isyarat Pekan Rembau. Hanya kurang dua kilometer sahaja nak sampai ke hospital. Alhamdulilah, Allah tunaikan hajat saya dalam keadaan macam ni ” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ujar Mohd Safiq lagi, dia memang berhasrat menyambut kelahiran anak keempat ini kerana tidak berkesempatan melakukannya dengan tiga anak lain.
“Sebelum ini saya pernah beritahu kawan mengenai hasrat saya ini, namun mereka mendakwa dengan SOP (prosedur operasi standard) hospital ketika ini, agak mustahil menyambut anak sendiri.
“Beza umur anak keempat dan anak ketiga agak jauh, jadi ramai yang beritahu proses bersalin akan lebih lama dan sakit. Namun, ia dipermudahkan, malah lebih cepat dari tarikh ‘due’,” katanya.
Jelasnya lagi, susulan kejadian berkenaan, anaknya digelar ‘Mat Triton’ sempena kelahirannya dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
“Bagaimanapun, kami suami isteri sudah pun memilih nama yang sesuai buat anak kami yang buat masa ini dirahsiakan terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE