PETALING JAYA – Penyanyi dan usahawan Ifa Raziah bersyukur apabila tahap kesihatan suaminya, Mohd. Yani Abdul Rahman yang menjalani prosedur jantung semalam semakin menunjukkan perkembangan positif.
Katanya, biarpun menyambut hari raya dan meraikan ulangtahun perkahwinan yang ke-19 mereka di hospital, paling utama keadaan insan kesayangannya itu kembali pulih.
“Semalam sambut anniversari kat hospital. Hari ini (25 April) akan buat pembedahan.
“Syukur alhamdulillah dah keluar bilik bedah. Mohon doakan suamiku, Mohd. Yani semoga cepat sembuh.
“Aamin Ya Rabbal Alamin. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin,” katanya menerusi perkongsian Instagram.
Terdahulu, Mohd. Yani dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara pada Isnin lalu sebelum menjalani prosedur pembedahan pada keesokan harinya.
Menurut penyanyi Ser Ser Ser itu lagi, pihaknya terpaksa mengehadkan kunjungan tetamu seperti dinasihatkan doktor supaya suaminya mendapat rehat secukupnya.
Malah katanya, faktor jangkitan virus yang masih berleluasa juga antara penyebab mereka kurang menerima pelawat sebagai cara mengelakkan risiko.
“Saya pasti kawan-kawan terdekat memahami situasi Mohd Yani yang kini dalam proses penyembuhan. Apabila keadaannya semakin kuat, kami akan maklumkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE