KUALA NERUS – Aidilfitri tahun ini disambut pilu Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26, selepas dia kehilangan dua anak termasuk yang dalam kandungan dan bapa mentua tirinya dalam kemalangan dua buah kereta di Cheneh, Kemaman kelmarin.
Dalam kejadian itu, isteri Muhammad Ubaidillah, Nurul Fatihah Azman, 28, yang hamil lima bulan patah tangan, manakala ibu mentuanya, Zaiton Mohamad, 57, pula patah kaki serta tulang rusuk.
Menurut lelaki itu, bapa mentuanya, Abd. Halim Ismail, 71, maut di tempat kejadian manakala anak tunggalnya, Alisha Mardhiah, 2, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman pada pukul 7.36 malam kelmarin.
“Pada tahun ini kami sekeluarga menyambut Aidilfitri di kampung isteri di Kampung Pengkalan Atap. Sewaktu kejadian, kami dalam perjalanan balik ke Kampung Pengkalan Atap selepas beraya di rumah saudara di Perasing, Kemaman.
“Saya perasan Alisha meragam sejak akhir-akhir ini, dia tidak mahu bersama saya, sebaliknya ‘melekat’ bersama ibunya.
“Bapa mentua pula hanya mendiamkan diri sepanjang penjalanan tersebut,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di sini semalam.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila Muhammad Ubaidillah memangku jenazah anaknya menuju ke liang lahad.
Jenazah Alisha dikebumikan bersebelahan pusara datuk tirinya pada pukul 12.45 tengah hari semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan memberitahu, nahas tersebut turut meragut nyawa Rosliza Mat Hussin, 38, ibunya, Tuan Yah Dollah, 61, sepupunya, Nor Nadia Natasha
Abu Bakar, 23, dan anak wanita itu, Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2.
“Siasatan mendapati dua buah kereta Persona bertembung selepas salah sebuah kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Ketika kejadian, sebuah kereta Proton Persona dinaiki tujuh sekeluarga dalam perjalanan ke Bandar Baru Cheneh dari Bukit Besi, manakala kereta dipandu Muhammad Ubaidillah pula menuju ke Kuala Nerus dari Perasing,” katanya.
Difahamkan, jenazah Rosliza dan Tuan Yah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cabang Tiga, Jabi manakala jenazah Nor Nadia Natasha dan anaknya disemadikan di Felda Keratong 1, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang.