ALOR SETAR – Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan berlangsung di sebuah hotel, di sini, Sabtu ini menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk bersua muka serta beramah mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat juga boleh bertemu dengan barisan menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang bakal hadir.
“Mungkin ia juga dapat menyediakan peluang kepada seluruh rakyat Kedah untuk mendengar sendiri amanat Perdana Menteri tentang visi dan misi beliau serta barisan menteri kerajaan madani untuk membangunkan setiap negeri di Malaysia terutama Kedah.
“Sehubungan itu, seluruh rakyat digesa supaya tidak mensia-siakan peluang dengan hadir memeriahkan suasana dan menjamu selera di majlis rumah terbuka itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, penganjuran majlis terbuka tersebut tidak wajar dilabelkan sebagai pembaziran kerana ia diadakan untuk meraikan rakyat menerusi jamuan makan bersempena sambutan Aidilfitri.
“Tidak timbul soal untung rugi jika akhirnya yang mendapat manfaat adalah rakyat,” ujarnya.
Malah kata beliau, pihaknya mencadangkan supaya lebih banyak majlis jamuan diadakan di peringkat negeri-negeri kerana ia dapat mendekatkan lagi hubungan rakyat dengan barisan jentera kerajaan di peringkat pusat. – KOSMO! ONLINE