fbpx

Rumah bekas imam terbakar, KJ tawar tempat tinggal sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Susulan kejadian kebakaran berkenaan, bekas imam ditawar mendiami sementara waktu rumah bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. - Foto NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang bekas imam berhadapan detik-detik cemas apabila kediaman pusaka arwah isterinya terbakar ketika dia sedang berbuka puasa di Kampung Tanjung, Gadong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.28 malam itu, Abd Rahaman Che Teh, 73, ditemani anak, menantu dan cucu segera keluar dari rumah selepas kebakaran merebak pantas dan tiada barang penting dapat diselamatkan

Menurut Abd Rahaman, dia baharu sahaja berbuka puasa sunat, kemudian terhidu benda terbakar dan kejadian berlaku sekelip mata.

Kediaman pusaka lebih 80 tahun musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Tanjung, Gadong, di sini, malam tadi. – Foto NOR AINNA HAMZAH

“Ramai hulurkan bantuan untuk menumpang teduh termasuk Khairy Jamaluddin yang menghubungi melalui telefon. Mungkin malam ni kami 13 beranak akan bermalam di sana,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian Kampung Tanjung, hari ini.

Sementara itu, anak kedua Abd Rahaman berkata, mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan serta motosikal ayahnya iaitu Honda EX5.

“Ikutkan perancangannya, kami akan bertolak pulang ke kampung ayah di Kuala Terengganu selepas Isyak. Tak pernah kami gerak malam pulang ke kampung, namun disebabkan ayah berpuasa, kami buat keputusan seperti ini.

“Mujur juga ketika kejadian kami ada serta dapat menyelamatkan ayah walaupun kebakaran ini telah menyebabkan hampir keseluruhan rumah pusaka tiga generasi terbakar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Bomba Kanan I (TBK), Mokhtar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.28 malam dan sebaik tiba di lokasi, api sedang marak.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal kebakaran yang dipercayai berpunca dari bilik stor dan dianggarkan kediaman ini musnah sebanyak 90 peratus.

“Dalam kejadian ini seramai 20 pegawai serta anggota dari tiga balai bomba dan penyelamat termasuk Rembau dan Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI