PETALING JAYA – Profesor wanita Melayu pertama yang juga mantan Dekan Universiti Malaya (UM), Puan Sri Prof Dr. Fatimah Hamid Don dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Balu kepada Allahyarham Tan Sri Ishak Pateh yang berusia 89 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pukul 2.35 pagi.
Jenazah dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, pada pukul 10 pagi ini untuk dimandi dan dikafankan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, di sini, untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.
Terdahulu, Allahyarham yang berasal dari Batu Gajah, Perak, memperoleh Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) dari Universiti California, Amerika Syarikat pada 1971.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan UM, dan dinaikkan pangkat kepada Profesor Madya pada 1974 serta dilantik menjadi Dekan (1975) sebelum bersara sebagai Profesor pada 1990.
Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum merangkap Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan. – KOSMO! ONLINE