fbpx

10 mati dibunuh guna racun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita, Sararat 'Am' Rangsiwuthaporn (kiri) ditangkap di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok semalam.- Foto Khaosod

BANGKOK – Polis Thailand menangkap seorang wanita berusia 35 tahun di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok kerana disyaki menjadi pembunuh bersiri.

Pegawai yang memberkas suspek dikenali sebagai Sararat ‘Am’ Rangsiwuthaporn, turut menemui sebotol racun sianida padanya, lapor laman berita The Nation of Thailand hari ini.

Selain itu, polis juga telah mengenal pasti 10 mangsa yang disyaki dibunuh oleh suspek.

Dia ditahan berdasarkan waran tangkap yang telah dikeluarkan terhadapnya berikutan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang rakannya rebah lalu mati.

Dalam pada itu, sumber berkata, polis telah menyenaraikan 10 individu yang meninggal dunia didakwa akibat penyakit jantung selepas mereka menghubungi Sararat.

Mangsa berumur antara 33 hingga 44 tahun manakala kematian berlaku antara Disember 2020 hingga bulan ini.

Keluarga mangsa melaporkan wang tunai atau barang kemas hilang daripada jasad atau akaun bank si mati dengan jumlah yang lesap adalah antara 60,000 baht (RM7,820) hingga 300,000 baht (RM39,100).

Salah seorang mangsa yang terselamat berkata, dia berasa sesak dada dan hilang deria rasa pada tangannya selepas mengambil pil yang ditawarkan oleh Sararat di sebuah pusat beli-belah di Kanchanaburi.

Wanita itu dilaporkan telah meminjamkan wang berjumlah 250,000 baht (RM32,584) kepada Sararat sebelum ini.

Ketua Bahagian Pencegah Jenayah, Mejar Jeneral Montri Theskhan berkata, para penyiasat dan kakitangan forensik sedang memeriksa kes-kes berkaitan untuk mencari bukti dan kaitan yang pasti dengan Sararat. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI