fbpx

Tanam cerucuk besi atasi kes tanah runtuh Akademi SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tinjauan tanah runtuh di Akademi SPRM di Jalan Duta, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan runtuhan kecil telah berlaku malam tadi di lokasi tanah runtuh hadapan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, runtuhan kecil tersebut berlaku lagi sekitar pukul 10 malam tadi dan mengenai kawasan pagar Institut Intergriti Malaysia (IIM).

“Runtuhan tanah berlaku lagi malam tadi dan ia berlaku sedikit demi sedikit serta tidak begitu ketara.

“Polis serta agensi penguat kuasa yang terdiri daripada pasukan teknikal Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih meneruskan operasi penyiasatan sejak awal pagi tadi,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian.

Keadaan tanah runtuh berhampiran banguan Akademi SPRM di Jalan Duta, hari ini. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Menurut beliau, tempat runtuhan tanah berkenaan telah ditutup dengan kanvas sejak semalam, namun ia dilihat tidak dapat mengurangkan risiko bahaya di sekitar lokasi.

“Kita lihat masih berlaku runtuhan serta hakisan tanah di tempat runtuhan. Setakat menutup dengan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya yang ada di lokasi.

“Kita juga sedang berbincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan daripada terus terjejas ekoran hakisan tanah,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di hadapan akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur, petang semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.54 petang.

Menurutnya, seramai lapan pegawai bomba digerakkan bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul.

Petugas meninjau keadaan tanah runtuh berdekatan bangunan Akademi SPRM di Jalan Duta, hari ini. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

“Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba, Yogeswaran Elangovan, setibanya di lokasi kejadian, terdapat tanah runtuh di hadapan pintu masuk akademi SPRM.
“Kejadian itu meruntuhkan sebuah pondok kawalan. Keluasan tanah runtuh dianggarkan 12,000 kaki persegi.

“Tanah runtuh tidak melibatkan blok bangunan kuarters dan asrama, hanya blok pentadbiran sahaja yang terkesan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, seramai 76 mangsa terlibat terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita, namun kesemuanya tidak mengalami sebarang kecederaan serta dipindahkan ke kawasan selamat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI