JAKARTA – Polis Indonesia menangkap tiga lelaki selepas disyaki mencuri tujuh tiang fiber optik dekat Lapangan Desa, Sidoarjo pada pagi Hari Raya Aidilfitri, Sabtu lalu, lapor laman berita Tribun Madura semalam.
Mereka melakukan perbuatan tersebut ketika suasana sepi kerana ramai penduduk beragama Islam sibuk melakukan persiapan untuk solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
“Tiga pelaku sudah ditangkap termasuk barang bukti pencurian,” kata Ketua Polis Sukodono, Supriyana.
Polis juga merampas sebuah trak kecil yang digunakan oleh suspek-suspek untuk mengangkut barang curi tersebut iaitu tujuh tiang fiber optik dengan panjang sekitar 7 meter.
Trak itu disewa dan perbuatan mereka terbongkar selepas penduduk tempatan melihat tiga lelaki mundar-mandir di sekitar lokasi kecurian tersebut sedangkan ketika itu adalah sekitar pukul 5 pagi (waktu tempatan), iaitu menjelang solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Tidak lama kemudian, tiga lelaki itu mengangkut tujuh tiang fiber optik dari tempat penyimpanan. Penduduk yang berasa curiga kemudian melaporkan insiden itu kepada polis.
Anggota polis kemudian tiba di tempat kejadian dan berjaya menangkap tiga suspek itu. – Agensi