PORT DICKSON – Orang ramai tidak mempedulikan papan tanda amaran Kawasan Dilarang Mandi di Pantai Cahaya, Batu 1, di sini yang telah meragut tiga nyawa baru-baru ini.
Lokasi berkenaan telah meragut nyawa tiga beradik perempuan, iaitu R Kalaivani, 30, Dawige, 29, dan Sathiyadevi, 19, manakala adik lelaki mangsa, Veeran, 26, dan tunang Kalaivani, J Sathiswaran, 29, diselamatkan orang awam dan dirawat di Hospital Port Dickson.
Tinjauan ke lokasi kejadian mendapati orang ramai masih memilih lokasi tersebut untuk berkelah sambil membiarkan anak-anak mandi-manda di laut.
Kata salah seorang orang awam yang ingin dikenali sebagai Siti, 49, dari Shah Alam, dia tidak sedar bahawa terdapat papan tanda amaran kawasan tersebut dilarang untuk mandi.
“Saya tak perasan pun ada papan tanda. Saya dan suami datang bersama lima orang anak berusia empat hingga 22 tahun untuk bersiar-siar di Port Dickson.
“Mula-mula ke Pantai Teluk Kemang, saya tengok ramai sangat jadi kami cari kawasan pantai yang tak ramai untuk makan serta anak-anak bermain air di pantai,” katanya.
Hasil pemerhatian ada lebih dua papan tanda amaran dipasang di lokasi berkenaan bagi memastikan lokasi yang sudah lebih sekali meragut nyawa itu tidak berulang lagi.
Bagaimanapun, lokasi yang sama juga sangat sesuai dijadikan lokasi santai berehat di tepi pantai serta berjalan di atas jambatan untuk melihat pemandangan laut.
Ini berikutan keadaan laut yang agak dalam sekiranya air pasang di kawasan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Husna, 28, dari Sungai Buloh, Selangor berkata, dia memilih lokasi itu kerana kurang orang berbanding pantai lain.
“Tapi saya tak sangka pula kawasan ini kawasan dilarang mandi. Saya datang bersama lebih 10 ahli keluarga termasuk anak-anak untuk berkelah.
Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Azizee Alias dilaporkan berkata, ketiga-tiga mangsa yang lemas bersama adik lelaki mereka dari Banting, Selangor dan seorang saudara lelaki dari Perak berkelah di pantai itu.
“Mayat ketiga-tiga mereka ditemui kira-kira 50 meter dari pantai. Ketika kejadian, air tengah pasang dan agak bergelora. Saya juga dimaklumkan kawasan berkenaan adalah kawasan larangan mandi,” katanya.