PETALING JAYA – Kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air punca berlakunya runtuhan tanah di hadapan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta, di sini, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan
Cerun, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah menjalankan siasatan awal berikutan kejadian tersebut.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air di kawasan terlibat.
“Kebocoran paip pada sistem perpaipan telah menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.
“Sebahagian tembok penahan tersebut telah runtuh bersama-sama dengan tanah cerun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Nanta Linggi, taburan hujan di daerah Sentul untuk empat hari dari Jumaat hingga Isnin lalu juga mencatatkan bacaan yang tinggi.
“Bagaimanapun, semasa kejadian cuaca adalah baik dan tiada hujan.
“JKR juga memerlukan lukisan terbina (As-built Drawing) struktur tembok penahan sedia ada daripada pihak pemilik bangunan untuk membuat semakan lanjut terhadap struktur tembok penahan berkenaan,” ujarnya.
Jelas beliau, kerja pembersihan tapak akan bermula petang ini melalui kontraktor yang dilantik.
Tambahnya, kerja-kerja pemasangan kanvas di kawasan cerun runtuh bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah turut dilakukan. – KOSMO! ONLINE.