LISBON – Seekor memerang di Zoo Lisbon, Portugal menghempas sebuah telefon bimbit milik pengunjung yang terjatuh ke dalam air ke arah batu berulang kali, lapor laman berita Mothership semalam.
“Seorang pelawat zoo yang tidak bernasib baik menjatuhkan telefon bimbit ke dalam kandang memerang,” tulis media Australia, news.com.au dalam kepsyen video kejadian.
Beberapa video yang diambil dari sudut berbeza menunjukkan memerang itu memukul dan menghempas telefon pintar jenama iPhone itu ke batu secara berterusan.
Pada satu ketika, haiwan itu berhenti menghempas telefon tersebut dan meletakkannya di atas badannya ketika ia terapung di atas air.
Ia kemudian dilihat membiarkan peranti tersebut dan menyimbah mukanya dengan air.
Selepas kembali menyentuh iPhone itu, ia mula menghempas telefon tersebut pada badannya secara agresif.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Kasihan memerang itu fikir ia adalah kerang tetapi sukar untuk membukanya,” komen seorang netizen – Agensi