MARANG – Seorang lelaki berusia 34 tahun melecur tangan kanan dan tapak kaki setelah rumah pusaka dua tingkat didiami di Kampung Pak Madah, Bukit Payung di sini terbakar malam tadi.
Dalam kebakaran pada pukul 9.15 malam itu, mangsa, Jazli Jisim yang tinggal sehelai sepinggang bernasib baik masih sempat keluar menyelamatkan diri bersama abang sulungnya, Zulkifli, 52, walaupun sudah tercedera.
Menurutnya, sewaktu kejadian, dia sedang tidur manakala abangnya pula menonton televisyen di ruang tamu bahagian tingkat bawah rumah.
“Saya terlelap selepas solat maghrib dan terpingga-pingga apabila dikejutkan abang (Zulkifli) yang memberitahu bilik tidur saya di tingkat atas sedang terbakar.
“Waktu itu api masih kecil lagi. Kami berdua berusaha untuk memadamkan kebakaran itu dengan turun ke tingkat bawah beberapa kali untuk mengambil air menggunakan baldi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Jazli berkata, usaha mereka tidak berhasil, malah api makin marak dan keadaan semakin kelam-kabut apabila bekalan elektrik rumahnya tiba-tiba terputus.
Tambah anak bongsu daripada lima beradik tersebut, dia dan abangnya tiada pilihan selain keluar segera dari rumah mereka yang sedang marak terbakar sebelum menjerit meminta pertolongan jiran-jiran.
“Saya hanya sedar tangan kanan dan tapak kaki melecur akibat terkena haba kebakaran apabila mula merasa pedih tidak lama kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE