PARIT BUNTAR – Mayat seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui di dalam sebuah longkang berhampiran Taman Kerian Permai, di sini petang tadi.
Menurut sumber, mayat yang ditemui itu dipercayai merupakan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 20-an dan merupakan pemegang kad OKU yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu.
“Ahli keluarganya telah membuat satu laporan polis berhubung kehilangan anaknya di Balai Polis Parit Buntar, petang hari ini,” katanya.
Mayat tersebut telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat tersebut.
“Maklumat berkaitan penemuan tersebut akan dimaklumkan selepas proses bedah siasat dijalankan ke atas mayat,” katanya. – KOSMO! ONLINE