fbpx

KKM arah penarikan dua produk mi segera dari pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua produk mi segera yang didakwa dicemari ethylene oxide.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan arahan penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai yang mempunyai tarikh luput pada 25 Ogos 2023 berikutan didakwa dicemari ethylene oxide.

Pada masa sama, KKM juga meminta syarikat mi segera jenama Indomie menarik balik secara sukarela produk Perisa Ayam Spesial dari pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum laporan Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran ethylene oxide dalam produk Mi Kari Putih Penang Ah lai dari Malaysia serta Indomie Perisa Ayam Spesial.

“Ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

“Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, bagi sampel Mi Kari Putih Penang Ah Lai, persampelan di Malaysia mendapati ianya mematuhi perundangan.

“Bagaimanapun, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan berterusan, KKM mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah lai dari pasaran tempatan sekiranya ada.

“Selain itu, KKM juga mengesahkan terdapat kemasukan produk Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran negara Indonesia ke negara ini.

“Jadi, KKM mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk itu di semua pintu masuk negara selain meminta syarikat menarik balik secara sukarela dari pasaran,” tegasnya.

Mengulas lanjut, katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan atau diimport susulan isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada 2022.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

“Tindakan diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah selain penarikan balik produk dari pasaran.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara mengancam kesihatan pengguna selain orang ramai dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI