PEMANAH berpengalaman negara, Mohd. Juwaidi Mazuki menampilkan aksi penuh bergaya pada saingan Piala Dunia Memanah 2023 di Antalya, Turkiye apabila membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara compound individu lelaki serta berpasukan campuran.
Juwaidi memastikan gangsa menjadi miliknya dalam acara individu lelaki apabila menewaskan wakil Belanda yang juga pemanah No. 1 dunia, Mike Schloesser menerusi kemenangan 148-146.
Sementara itu, dalam acara berpasukan campuran, Juwaidi yang bergandingan bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh berjaya mengetepikan cabaran pasukan Marco Bruno-Elisa Roner dari Itali menerusi keputusan 19-18.
Lebih manis, atlet berusia 32 tahun itu turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya apabila mengutip 714 mata pada pusingan kelayakan, sekali gus mengatasi catatan 709 mata yang juga dilakukan ketika menyertai Kejohanan Memanah Asia 2019.
“Dua pingat gangsa berjaya diraih pada saingan peringkat pertama saingan Piala Dunia di Antalya, Turkiye. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata mengenai perasaan saya pada ketika ini.
“Dapat melakukan catatan 714 mata di pusingan kelayakan selain mengutip 150 mata ke atas pada aksi kalah mati adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya juga berjaya memecah beberapa rekod kebangsaan,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram.
Terdahulu, Juwaidi tewas 145-147 kepada wakil Slovakia, Jozef Bosansky di separuh akhir dalam acara individu lelaki, manakala dalam acara berpasukan campuran, dia dan Fatin akur tewas 155-157 kepada Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam dari India.
Pada masa sama, Juwaidi menyatakan rasa gembira kerana berpeluang untuk berkongsi pentas bersama pemanah-pemanah terbaik dunia pada kejohanan tersebut selain tidak sabar menyertai kejohanan akan datang.
“Bagi saya, ini adalah impian yang menjadi kenyataan kerana berpeluang untuk beraksi di acara akhir. Apa yang paling penting saya dapat kenal lebih ramai orang dan berkawan dengan mereka.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu saya selama ini, terutamanya pasukan. Saya tidak sabar untuk lihat apa yang boleh dilakukan dalam kejohanan akan datang,” ujarnya.