BAKU – Prinsipal pasukan Aston Martin, Mike Krack mengakui risau dengan perlumbaan Sprint pada Grand Prix (GP) Azerbaijan di Litar Baku City yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.
Berkonsepkan litar jalanan, GP Azerbaijan sentiasa menyaksikan banyak insiden yang berlaku pada perlumbaan setiap musim, sekali gus menimbulkan kegusaran ia mungkin memberi kesan menjelang perlumbaan sebenar.
Krack tanpa berselindung berkata, beliau bimbang sekiranya berlaku kemalangan pada aksi Sprint, mereka tidak memiliki masa mencukupi untuk membaiki jentera selain perlu mematuhi peraturan had kos.
“Secara jujur, saya risau dengan aksi Sprint di Baku kerana kami tidak memiliki banyak masa untuk membaik pulih jentera jika ada berlaku kerosakan besar. Saya yakin semua pasukan tahu situasi ini.
“Sebaik aksi Sprint berakhir, kami perlu simpan jentera dan pulang berehat. Keesokannya di sebelah pagi, kami hanya ada beberapa jam sahaja untuk buat persiapan jika berlaku kerosakan pada jentera,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya kemalangan dapat dielak sekiranya semua pelumba tidak mengambil risiko untuk memintas antara satu sama lain, terutamanya ketika berada di selekoh berbahaya.
“Saya tahu tidak terlalu sukar untuk memintas jentera lain di Litar Baku, tetapi mereka tidak boleh ambil risiko di selekoh kerana ia sering menjadi punca kemalangan pada setiap tahun,” ujar Krack. – AGENSI