LONDON – Bekas pemain Arsenal, Kevin Campbell percaya bahawa pemain pertahanan pasukan itu, Rob Holding mampu mengisi kekosongan untuk membantu mempertahankan benteng The Gunners menjelang aksi menentang Manchester City awal pagi esok.
Skuad kendalian Pep Guardiola akan menyambut kehadiran Arsenal di Etihad untuk aksi yang dianggap penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila kedua-dua pasukan hanya dibezakan lima mata ketika City masih kekurangan dua perlawanan.
Situasi berkenaan menyebabkan Arsenal terdesak untuk mendapatkan kemenangan pada aksi itu nanti sekali gus menghidupkan semula peluang mereka menamatkan kemarau kejuaraan sejak lebih 18 tahun lalu.
Tiga perlawanan sebelum ini menyaksikan Arsenal sekadar meraih keputusan seri menyebabkan tekanan terhadap mereka semakin memuncak selepas dianggap pasukan yang mampu menjulang kejuaraan musim ini, malah berita kehilangan khidmat William Saliba yang mengalami kecederaan menambah resah Arteta.
Situasi itu menyebabkan Arteta tidak mempunyai pilihan kecuali menyenaraikan Holding sebagai pengganti biarpun pemain itu berdepan kritikan hebat sebelum ini dan Campbell percaya dia mampu menggalas tanggungjawab berkenaan walaupun perkara itu tidak dipersetujui oleh sebahagian besar peminat The Gunners.
“Rob Holding akan turun menentang City. Semua orang akan cuba mencari ‘kambing hitam’ dalam setiap perlawanan atas apa jua alasan dan Holding menjadi salah seorang kerana sejarahnya sebelum ini.
“Mungkin kualitinya tidak sama dengan Saliba, tetapi dia sudah memberikan yang terbaik. Secara jujurnya, saya percaya dia mampu untuk mengisi kekosongan tersebut,” jelasnya.
Selain Campbell, dua lagi bekas pemain The Gunners, Mikael Silvestre dan Tony Adams juga menolak pendapat bahawa Holding merupakan kelemahan paling ketara untuk benteng pasukan itu menjelang aksi besar berkenaan.
“Pada saya Holding adalah pemain terbaik untuk mengisi tempat tersebut. Saya tidak fikir dia adalah punca Arsenal menjadi lemah, bola sepak adalah permainan berpasukan. Pemain pertahanan mungkin empat atau enam, mengubah salah seorang daripadanya tidak memberi kesan besar,” kata Silvestre. – AGENSI