HULU SELANGOR – Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki warga emas terselamat selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang di Jalan Kuala Kubu Bharu – Ampang Pechah, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.50 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat individu berusia tiga hingga 80 tahun.
“Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Ampang Pechah.
“Tiga daripada empat mangsa berjaya dibawa keluar oleh orang awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelas Morni, mangsa lelaki warga emas pula dikeluarkan oleh anggota bertugas.
Menurutnya, semua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE.