PETALING JAYA – Pernah tersenarai sebagai sebagai 100 Wajah Tercantik Dunia, pelakon Anna Jobling tidak menolak sekiranya dipilih menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia sekali gus berpeluang mewakili negara ke peringkat Miss Universe.
Bagaimanapun, Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, pada tahap sekarang, prioritinya sudah berubah yang lebih terarah dalam bidang lakonan sekali gus menyukarkan misi perkara terbabit.
“Saya rasa kalau dulu ditawarkan masuk Miss Universe Malaysia, saya akan terima tapi sekarang, saya tak rasa saya akan ambil peluang itu.
“Sebabnya, entahlah. Kalau orang nak saya masuk, mengapa tidak. Tapi kalau masuk bertanding, saya kena selesa dengan apa yang saya pakai atau gayakan.
“Saya memang takkan pakai apa-apa yang ‘panas’. Kalau baju selesa dan sesuai untuk saya, kemungkinan saya akan sertai tapi buat masa sekarang, saya tak rasa nak sertai pertandingan sebegitu.
“Saya berharap kawan saya, Amelia Henderson dia dapat masuk dan mewakili Malaysia. Dia memang layak untuk menang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya sama ada dia pernah memasang angan-angan untuk bergelar ratu cantik sejak kecil, jawab Anna: “Saya mula dengan pertandingan ratu cantik. Saya pernah sertai Miss Melaka dan Miss Pahang.
“Senang cerita, saya bermula dalam industri ini dengan pertandingan ratu cantik. Tengoklah nanti, kalau kena ‘handpicked’ (dipilih sendiri) dan orang setuju, why not.”
Pada 2021, Anna, 23, pernah meluahkan harapannya untuk dapat menyertai pertandingan Miss Universe pada masa akan datang.
Dia mendedahkan, pihak pengurusan Miss Universe Malaysia pernah menghubunginya namun hasrat terpaksa dilupakan disebabkan undang-undang tidak membenarkan wanita Muslim untuk bertanding mewakili Malaysia ke peringkat luar negara.
Sebelum itu, bekas peserta Pertandingan Miss Universe yang mewakili Malaysia, Deborah Henry pernah meminta supaya gadis Muslim dibenarkan untuk menyertai pertandingan berkenaan.
Antara syarat lain digugurkan kini adalah segmen pakai bikini tidak lagi satu kewajipan untuk bertanding.
Pihak pengurusan Miss Universe Malaysia juga membenarkan wanita yang sudah berkahwin dan bercerai untuk menyertai pertandingan ratu cantik tersebut.
Sehubungan itu, pelakon Amelia Henderson menyuarakan keinginan untuk menyertai pertandingan ratu cantik sekali gus mewakili Malaysia di peringkat global, Miss Universe. – KOSMO! ONLINE