PETALING JAYA – Empat sekeluarga yang pengsan di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora di Plaza Tol Bentong, Pahang kelmarin dikatakan menghidu bau kuat petrol sebelum penglihatan menjadi gelap.
Perkara itu diceritakan anak sulung mangsa, Ahmad Nor Syafiq, 24, sewaktu pemuda tersebut melawat bapanya yang dirawat di Hospital Bentong.
Cerita Ahmad Nor Syafiq, ketika kejadian, dia menaiki kereta berasingan dengan bapanya dan dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas bercuti raya di Tok Bali, Kelantan.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, sebaik melepasi plaza tol berkenaan, MPV Proton Exora yang dinaiki bapa, ibu, adik bongsu dan sepupunya tidak kelihatan, manakala panggilan telefon juga tidak dijawab.
“Sebaik tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gombak, bapa hubungi saya beritahu mereka pengsan dan berada di Hospital Bentong. Kami kemudiannya segera berpatah balik untuk melihat keadaan mereka.
“Semasa sampai di hospital, bapa, ibu dan sepupu sudah sedar cuma mereka kelihatan tidak bermaya. Adik bongsu pula belum sedarkan diri kerana dia yang paling awal pengsan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Semalam.
Tambah Ahmad Nor Syafiq, bapanya yang berusia 52 tahun membuka cermin tingkap sebelum kejadian kerana terhidu bau petrol yang kuat sebelum pandangan menjadi gelap.
“Sebelum itu, bapa lihat mereka yang lain seperti tertidur termasuk ibu selepas dia (ibu) mengadu panas. Selepas itu ibu diam. Bapa saya beritahu dia terasa bagai bermimpi. Dia tersedar apabila ada orang menepuk dadanya,” katanya.
Ahmad Nor Syafiq memberitahu, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku ke atas keluarganya memandangkan kenderaan mereka juga berada dalam keadaan baik.
“Kami bertolak pukul 6.30 pagi (kelmarin) dan berhenti rehat di R&R Temerloh selama satu jam sebelum menyambung semula perjalanan. Apa-apapun saya bersyukur kerana kenderaan itu tidak dipandu laju,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan empat sekeluarga tidak sedarkan diri di dalam kenderaan di Plaza Tol Bentong pada pukul 2.40 petang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, keempat-empat mangsa pengsan sebelum MPV tersebut melanggar plaza tol berkenaan.
Pemeriksaan mendapati kesemua mangsa kekurangan oksigen dalam badan. Usaha menyelamatkan mangsa dilakukan polis, anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak Lebuh raya Pantai Timur.