KOTA BHARU – Seramai 80 bakal jemaah umrah kerugian sebanyak RM600,000 selepas hasrat mereka untuk ke Tanah Suci tidak kesampaian apabila mendakwa ditipu sebuah agensi pelancongan.
Mangsa mendakwa mereka membuat bayaran penuh kepada agensi pelancongan tersebut sejak Oktober tahun lalu bagi penerbangan pada Disember lepas, namun sehingga kini wang tersebut tidak dikembalikan kepada bakal jemaah.
Wakil jemaah, Azra Zahari, 43, mendakwa, mereka sepatutnya berlepas ke Mekah pada 14 Disember lalu sebelum ditunda ke Februari lepas dengan alasan penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Syarikat itu memaklumkan semua tempahan hotel penuh disebabkan penganjuran Piala Dunia. Selepas Februari, kami dimaklumkan perjalanan umrah tidak dapat diteruskan atas alasan jarak hotel penginapan jauh.
“Mereka memaklumkan pakej RM7,600 bagi setiap jemaah itu tidak melayakkan kami menginap di hotel berdekatan Tanah Suci dan bayaran tambahan diperlukan untuk tujuan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini hari ini.
Azra memberitahu, dia sudah memaklumkan kepada agensi pelancongan itu untuk membatalkan tempahan pada Februari lalu agar bayaran dapat dikembalikan seminggu kemudian, namun tiada sebarang khabar berita sehingga hari ini.
Seorang lagi jemaah, Noraini Fauzi, 50, dari Machang menyatakan rasa terkilan dan mendakwa agensi pelancongan terbabit seolah-olah mengambil sikap lepas tangan.
“Bermula 14 Disember 2022 diikuti 20 Februari dan 2 Mac lalu, janji hanya tinggal janji. Alasan mereka adalah masalah di Tanah Suci sedangkan jemaah yang ikut pakej syarikat lain sudah ramai melaksanakan umrah.
“Saya rasa sudah cukup kami tunggu dan bertolak ansur. Sekarang kami mahu tuntut hak dan diharap dengan laporan polis ini nasib kami akan terbela,” katanya. – KOSMO! ONLINE