KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berusia 90 tahun cedera ringan setelah rumahnya dihempap pokok tumbang dalam satu kejadian, di Taman Hock Ann, di sini, petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh pada pukul 5.42 petang.
Sehubungan itu, seramai lapan anggota bersama jentera dari BBP Seputeh digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Shahruddin Mat Nor di lokasi tersebut, terdapat pokok tumbang menghempap sebuah rumah.
“Seorang lelaki berusia 90 tahun terperangkap dalam rumah, dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di kepala dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE